Kezaliman memuncak tentera Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di akhir Ramadan 1442 ini begitu menyayat hati kita sebagai umat Islam seluruh dunia. Gaza dan Palestin adalah nadi umat Islam. Jatuhnya Gaza dan Palestin maka jatuhlah maruah kita.

Sejak 10 malam terakhir Ramadan tentera Zionis Israel sudah mula mengganggu umat Islam di Baitul Maqdis. Ianya berpunca dari desakan mengosongkan tanah kediaman rakyat Palestin 4 keluarga Syeikh Jarrad. Proses mahkamah rayuan belum pun selesai, tetapi yahudi dengan rakus menghalau mereka atas dasar apartheid.

Maka berlakulah pencerobohan Masjidil Aqsa pada 27 Ramadan. Rakyat Palestin bangkit mempertahankan diri. Tetapi apakan daya, usaha mereka hanya ibarat menolak bukit yang pejal. Pejuang Hamas di Gaza mengambil reaksi untuk membalas pencerobohan masjid suci itu dengan melancarkan serangan terhadap Tel Aviv. Akhirnya berlakulah pembantaian Zionis Israel di bumi Gaza sekarang ini.

Tiada upaya kita untuk terus membantu mereka kecuali doa dan derma. Diakhir-akhir Ramadan ini dan bermulanya Syawal, marilah sama-sama kita menadah tangan berdoa agar mereka terus teguh pertahan bumi tercinta itu. Dalam masa sama kita terus memberi sumbangan kepada mereka agar mereka terus utuh dan terus melaungkan takbir raya dalam suasana yang penuh dengan serba kemungkinan.

Aid4Palestine ditebuhkan atas cadangan Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah. Gabungan NGO dan agensi kerajaan ini mendapat restu dari Perdana Menteri yang juga turut serta bersimpati dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Gabungan pintar Aid4Palestine ini membuka peluang kepada kita semua untuk terus menabur kebajikan ini.